GEDONG: Projek penyelenggaraan jalan ban di Kampung Mayong, Gedong berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual dan dijangka dapat meningkatkan kemudahan jalan serta mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Projek bernilai RM422,512.50 itu merupakan projek Kerajaan Sarawak di bawah Inisiatif Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan bertindak sebagai agensi pelaksana.
Satu lawatan tapak bagi pengesahan projek siap telah diadakan untuk projek kerja-kerja penyelenggaraan jalan ban di Kampung Mayong, Gedong pada Selasa.
Tempoh pelaksanaan projek adalah selama enam bulan bermula pada 25 Julai 2025 yang lalu dan dijadualkan siap pada 25 Januari 2026.
Bagaimanapun, projek ini telah berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada 11 Disember 2025, sekali gus mendahului tarikh jangkaan siap yang ditetapkan.
Skop kerja yang dilaksanakan merangkumi beberapa komponen utama, antaranya kerja-kerja awalan dan persediaan yang melibatkan kerja-kerja umum serta persediaan awal tapak sebelum pelaksanaan kerja utama.
Selain itu, kerja tanah (earthworks) turut dilaksanakan yang melibatkan pembinaan retreat bund, kerja-kerja penambakan tanah di kawasan yang diperlukan, pembinaan sistem perparitan tanah baharu serta kerja-kerja pembersihan dan penyahkelodakan.
Secara keseluruhan, pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan kecekapan sistem saliran, memperbaiki kemudahan jalan serta mengurangkan risiko banjir sekali gus menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan sekitarnya.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan Mohammad Arrib Elin, wakil Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Chua Wey Lin, wakil Pusat Khidmat N.26 Gedong Awang Abdul Rahman Awang Hamid, Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan Gedong Maharthir Oyak serta wakil kontraktor Shamerlis Permata Indah Shahrul Abdullah. -EDISI UKAS