Peningkatan Bantuan SKAS 2026 Bukti Keprihatinan Kerajaan Sarawak, Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat
KUCHING: Peningkatan bantuan di bawah inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi tahun 2026 terus mendapat reaksi positif daripada rakyat Sarawak yang menyifatkannya sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.
Bagi penerima SKAS kategori isi rumah, Fadillah Sulaiman, 34, berkata kesinambungan serta penambahan jumlah bantuan tersebut amat membantu dalam mengurus perbelanjaan harian keluarga.
Menurutnya, bantuan SKAS bukan sekadar inisiatif sementara, sebaliknya memberi impak nyata kepada rakyat berdasarkan pengalaman penggunaan sebelum ini.
“Bantuan SKAS ini memang sangat membantu rakyat Sarawak. Tahun lepas ramai yang memanfaatkannya dan saya sendiri antara penerima.
“Apabila dimaklumkan bantuan ini diteruskan dan dinaikkan bagi 2026, ia jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu rakyat, terutama ketika kos perbelanjaan semakin meningkat,” katanya ditemubual UKAS pada Selasa.
Tambah beliau, bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban pembelian barangan asas dan memastikan keperluan dapur sentiasa mencukupi.
Sementara itu, penerima SKAS kategori bujang, Islindawati Dolhardi, 28, menyifatkan kenaikan bantuan tersebut sebagai satu kelegaan besar, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.
“Kenaikan SKAS yang diumumkan oleh Premier Sarawak sebelum ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada saya dan turut membantu keluarga, terutama dari segi perbelanjaan harian,” ujarnya.
Pandangan sama turut disuarakan oleh seorang lagi penerima kategori bujang, Muhd Nurhaziq, 29, yang melihat peningkatan bantuan daripada RM250 kepada RM300 sebagai langkah tepat dan signifikan untuk membantu golongan bujang berpendapatan rendah.
“Bantuan ini amat diperlukan, terutamanya bagi mereka yang bergaji rendah. Walaupun jumlahnya tidak besar, ia sangat bermakna kerana boleh digunakan untuk membeli barang basah dan keperluan asas lain demi kelangsungan hidup,” jelasnya.
Secara keseluruhan, peningkatan bantuan SKAS 2026 mencerminkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, selari dengan usaha meringankan beban kewangan rakyat di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa.- EDISI UKAS