Program Sosek Malindo, Malam Titian Muhibbah 2026 Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia
TEBEDU: Program Sosio-Ekonomi Malaysia–Indonesia (Sosek Malindo) Ke-24 dan Malam Titian Muhibbah Ke-17 bagi tahun 2026 akan dilaksanakan pada 11 April 2026 susulan Mesyuarat Penangguhan yang diadakan di Pejabat Daerah Tebedu.
Mesyuarat bersama pada Selasa itu melibatkan kerjasama antara Pejabat Daerah Tebedu, Sarawak dan pihak Camat Entikong, Indonesia, sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam kalangan komuniti di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia.
Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar memaklumkan, Pejabat Daerah Tebedu telah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran program berprestij itu untuk tahun ini yang menjadi simbol persahabatan dan kerjasama erat antara Tebedu, Sarawak dan Entikong, Kalimantan Barat.
“Pengisian program akan dimulakan pada waktu siang dengan penganjuran Sukan Sosek Malindo yang melibatkan pelbagai aktiviti sukan tradisional dan sukan moden, bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat serta memupuk semangat perpaduan dan kesukanan,” katanya.
Beliau menambah, pada sebelah malam pula, Malam Titian Muhibbah Ke-17 akan diadakan sebagai acara kemuncak sambutan tahun 2026.
Program ini katanya dijangka menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim, pertukaran budaya serta persefahaman antara rakyat kedua-dua negara.
Secara keseluruhan ujarnya, penganjuran program ini dijangka melibatkan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada wakil Entikong, Indonesia dan Tebedu, Sarawak, Malaysia.
Jelasnya, penganjuran Program Sosek Malindo dan Malam Titian Muhibbah ini dilihat terus memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh hubungan kejiranan, kerjasama sosial serta keharmonian komuniti di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia. -EDISI UKAS