Sarawak Perkasa Pembangunan Lestari Bersama Sukarelawan Antarabangsa
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperteguh usaha ke arah pembangunan lestari menerusi penglibatan bersama pertubuhan sukarelawan antarabangsa.
Ia susulan kunjungan hormat kumpulan sukarelawan berpangkalan di Korea Selatan, ASEZ, ke atas Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur, di sini, pada Selasa.
ASEZ atau Save the Earth From A to Z ialah sebuah organisasi sukarelawan antarabangsa berasaskan Korea Selatan yang diterajui pelajar universiti dari 175 negara dan aktif melaksanakan inisiatif global berkaitan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan manusia serta kempen “Zero Plastic 2040”.
Dalam pertemuan itu, Dato Sri Lee mengalu-alukan kunjungan delegasi ASEZ sambil memuji komitmen kesukarelawanan belia terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menegaskan bahawa perubahan iklim ialah cabaran global yang menuntut tanggungjawab bersama tanpa mengira kewarganegaraan.
Beliau turut berkongsi usaha Sarawak menangani perubahan iklim melalui inisiatif pengangkutan mampan dan rendah karbon, termasuk pelaksanaan Kuching Urban Transportation System (KUTS) yang menampilkan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen serta 56 buah bas pengantara hidrogen bagi Fasa Pertama bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan mobiliti bandar yang lebih bersih.
Selain itu, kementeriannya terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan menjadikan perkhidmatan Miri Smart Bus percuma sebagai contoh positif apabila peningkatan penggunaan bas sejak diperkenalkan berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta memupuk amalan perjalanan lestari dalam kalangan pelajar melalui penglibatan pihak sekolah.
Dalam pada itu, beliau bertukar pandangan dengan delegasi ASEZ mengenai perancangan pengangkutan awam mampan di Sarawak serta mendengar maklum balas dan idea yang dikemukakan oleh para sukarelawan muda berkenaan, sekali gus menegaskan kepentingan penglibatan perspektif belia dalam membentuk dasar pengangkutan masa hadapan. -EDISI UKAS