Jadikan Masjid Al-Hana’ sebagai pusat penyatuan ummah
LINGGA: Pembangunan Masjid Al-Hana’ di sini perlu dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh agar ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, pengembangan ilmu serta kebajikan masyarakat di kawasan Lingga.
Ia ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk jawatankuasa masjid, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat jangka panjang.
Dayang Noorazah berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Masjid Al-Hana’, Daerah Lingga Bil. 1/2026 di sini pada Isnin.
Mesyuarat diadakan di Masjid Darul Hana itu memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan perancangan dan pembangunan Masjid Al-Hana’, termasuk hala tuju strategik, keperluan semasa serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan kemudahan dan pengurusan masjid dapat memenuhi keperluan jemaah serta masyarakat setempat.
Mesyuarat berlangsung dalam suasana lancar dan produktif dengan pelbagai pandangan serta cadangan membina dikemukakan, merangkumi aspek infrastruktur, pengurusan, kemudahan jemaah serta perancangan jangka panjang Masjid Al-Hana’.
Turut hadir Temenggung Tuan Mohamad Shah Achang, Penghulu Wan Amit Wan Kamil, ketua-ketua kampung Lingga, Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Hana’ Lingga, Wan Mirzan Wan Hanafi selaku wakil Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA). -EDISI UKAS