Sarawak Komited Manfaat Khazanah Alam Berteraskan Ilmu Al-Quran
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memanfaatkan khazanah alam negeri, khususnya sumber tenaga, bagi merangsang pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di Pulau Borneo berteraskan ilmu yang terkandung dalam al-Quran.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kekayaan sumber alam dan biodiversiti yang dimiliki Pulau Borneo merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dipelihara serta dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi kesejahteraan seluruh masyarakat.
Menurutnya, Pulau Borneo yang merupakan pulau ketiga terbesar di dunia mempunyai khazanah alam yang bernilai, termasuk kawasan hutan dan sumber biodiversiti yang kaya, sekali gus membuka peluang untuk meningkatkan taraf hidup penduduknya.
"Dalam Islam, kita tidak seharusnya membazir tetapi sebaliknya kita hendaklah menggunakan ilmu yang ada berdasarkan budaya iqra' untuk memperoleh segala ilmu yang terkandung dalam al-Quran sebagai asas membangunkan khazanah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, usaha memanfaatkan sumber alam secara optimum juga berupaya membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.
Dalam konteks Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, sumber tenaga yang dijana daripada sungai merupakan antara khazanah utama negeri yang berpotensi menyokong keperluan masyarakat, sektor perniagaan dan pertumbuhan ekonomi.
Ujarnya, pembangunan sumber tenaga secara bersama bukan sahaja dapat meningkatkan nilai khazanah alam sedia ada, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau.
"Dalam hal ini, selepas menjana tenaga, Kerajaan Sarawak turut memanfaatkan sumber tersebut untuk menggerakkan ekonomi Asia sebagai sumbangan kepada 'ASEAN Power Grid', termasuk membekalkan tenaga ke Kalimantan, Singapura, Semenanjung Malaysia serta negara-negara jiran yang lain.
"Usaha ini dapat menjadi sumber untuk menggerakkan pembangunan di kawasan masing-masing," ujar beliau.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Mual Suaud serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini