SMAIS Buka Peluang Kepada Pelajar Borneo, Komuniti Islam Minoriti Dari Negara Pasifik
KUCHING: Penubuhan Sekolah Menengah Agama Antarabangsa Sarawak (SMAIS) bakal membuka peluang kepada pelajar Islam dari seluruh Pulau Borneo serta komuniti Islam minoriti di negara-negara kepulauan Pasifik untuk mendapatkan pendidikan berkualiti di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sekolah berkenaan bagi memperkukuh pendidikan Islam serta melahirkan generasi yang menguasai ilmu agama dan akademik bersama-sama dengan pelajar Islam dari negara-negara tersebut.
Menurutnya, pengalaman mengunjungi Fiji sebagai Pengerusi Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) memberi gambaran mengenai keperluan membantu komuniti Islam minoriti di negara berkenaan, khususnya dalam mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik.
“Disebabkan kedudukan ekonomi mereka belum begitu maju, adalah dalam tahap yang harus kita bantu, maka Sarawak akan memberi tempat kepada anak-anak Islam dari kawasan tersebut untuk melanjutkan pelajarannya di sekolah antarabangsa di negeri ini.
“Ini dengan kita memberikan biasiswa kepada mereka yang mahir dan menunjukkan potensi, kita akan bawa bersama dengan anak-anak Islam yang lain, termasuk anak kita di Sarawak, supaya mereka boleh bercampur dan mempelajari di antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, persekitaran pembelajaran sedemikian mampu menggalakkan pertukaran ilmu, perkongsian pengalaman dan hubungan yang lebih erat dalam kalangan generasi muda Islam dari pelbagai latar belakang.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, sekolah berkenaan akan menggunakan silibus Cambridge selain kurikulum berteraskan Islam bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa antarabangsa serta meneruskan dakwah Islamiah dalam masyarakat masing-masing.
Ujarnya, pendidikan Islam perlu disertai penguasaan ilmu khusus agar generasi muda mampu memahami dan mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam pembangunan masyarakat serta menghadapi cabaran dunia masa kini.
“Kerana apabila anak-anak kita keluar daripada sekolah tersebut, mereka boleh berbahasa antarabangsa, dan dengan itu dapat menunaikan tanggungjawab meneruskan dakwah Islamiah di kalangan mereka sendiri.
“Di sinilah pentingnya Musabaqah al-Quran ini untuk menggalakkan pembacaan al-Quran dan seterusnya menterjemahkan apa yang terkandung dalam al-Quran untuk umat manusia,” ujar beliau. - EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini