KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memperkasakan pendidikan al-Quran menerusi penubuhan Pusat Al-Quran Darul Hana Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) pada 2025 bagi memperluas peluang masyarakat mempelajari dan mendalami kitab suci itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penubuhan pusat berkenaan bertujuan memastikan akses pendidikan al-Quran dapat diperluas kepada semua lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
"Kita mahu melahirkan lebih ramai guru al-Quran yang berkualiti, memperkukuh institusi pengajian sedia ada serta memastikan usaha pembangunan bakat qari, qariah, hafiz dan hafizah dapat dilaksanakan secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Selasa.
Datuk Dr Abdul Rahman turut menzahirkan kebanggaan terhadap kejayaan anak kelahiran Kuching, Ustazah Nur Syakura Mohamad Musa yang dinobatkan sebagai Johan Qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 2026.
Jelasnya, kejayaan itu membuktikan kemampuan anak Sarawak untuk menempa nama di persada antarabangsa, sekali gus memperkukuh keperluan mengenal pasti dan membimbing pelapis baharu dalam bidang al-Quran.
Justeru katanya, pelbagai perancangan dan usaha sedang digerakkan bagi memperkukuh pembangunan bakat sedia ada, di samping mengenal pasti serta membimbing pelapis baharu yang bakal meneruskan kecemerlangan ini pada masa hadapan.
Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo menghimpunkan 32 peserta, terdiri daripada 17 peserta kategori tilawah al-Quran dan 15 peserta kategori hafazan al-Quran.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, penganjuran itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat Islam di Borneo serta memperluas perkongsian kepakaran dalam bidang tilawah, hafazan, latihan guru dan pembangunan bakat.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Mual Suaud serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini