Kursus Kesedaran Sivik Dan Kenegaraan Perkukuh Perpaduan, Semangat Segulai Sejalai Di Rumah Panjang
KAPIT: Penghayatan Rukun Negara dan semangat Segulai Sejalai perlu terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat rumah panjang bagi memelihara perpaduan, keharmonian serta rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Perkara itu ditekankan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, ketika merasmikan Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan di Rumah Untang Anak Jirau, Nanga Sekura, Sungai Yong, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, penghayatan lima prinsip Rukun Negara perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, selain mengamalkan semangat Segulai Sejalai bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, masyarakat juga perlu bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat, mengelakkan penyebaran berita palsu, menghormati pihak berkuasa serta mengamalkan semangat gotong-royong demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memelihara adat, bahasa dan budaya Iban sebagai warisan generasi akan datang, di samping menggalakkan ibu bapa mendidik anak-anak serta mendorong golongan muda menuntut ilmu tanpa melupakan identiti budaya sendiri.
Kursus anjuran Pejabat Daerah Kapit itu menghimpunkan 276 peserta berdasarkan rekod pendaftaran KEMAS, termasuk pemimpin masyarakat, ketua kaum dan wakil agensi kerajaan.
Datuk Jefferson berharap program berkenaan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu, bertanggungjawab dan bersatu padu, selain memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan komuniti rumah panjang.
Turut hadir Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kandawang, Pegawai KEMAS Bahagian Kapit, Leena Taro, Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri, Robert Anyau, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri, Favian Masing serta ketua-ketua masyarakat dan wakil jabatan serta agensi kerajaan. - EDISI UKAS