82 Ketua Kaum Bukit Goram Terima Sijil Perlanjutan, Pelantikan Baharu
KAPIT: Seramai 82 ketua kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.63 Bukit Goram menerima sijil perlanjutan dan pelantikan baharu dalam usaha memperkukuh kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi.
Daripada jumlah itu, seramai 73 ketua kaum menerima sijil perlanjangan pelantikan, manakala sembilan lagi menerima sijil pelantikan baharu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, berkata ketua kaum memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan, khususnya dalam menyampaikan dasar serta maklumat rasmi kepada penduduk.
Beliau turut menegaskan bahawa integriti, amanah dan ketelusan perlu menjadi asas dalam pelaksanaan tanggungjawab bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara.
Katanya berucap pada majlis anjuran Pejabat Daerah Kapit di Kompleks Kerajaan Negeri, Jalan Bleteh, di sini, pada Ahad yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kandawang menekankan bahawa pelantikan sebagai ketua kaum dan tuai rumah merupakan amanah besar yang menuntut komitmen serta integriti tinggi, termasuk dalam urusan pentadbiran dan pengurusan kewangan komuniti.
Majlis berkenaan diharap dapat memastikan kesinambungan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan masyarakat dalam menyokong pelaksanaan dasar dan pembangunan di kawasan DUN Bukit Goram.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan Anak Jalai, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Alvin Runggah Jimbun serta ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum.-EDISI UKAS