Sarawak Hornbill Team Cup Kembali Dari 26 Hingga 31 Januari 2026
KUCHING: Sarawak Hornbill Team Cup 2026 (SHTC 2026) dijangka terus memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan utama serta hab serantau bagi sukan tenpin boling apabila edisi keempat kejohanan ini bakal berlangsung dari 26 hingga 31 Januari di Megalanes Sarawak, Batu Kawa.
Kejohanan ini terus meningkat dari segi prestij, mencerminkan keupayaan Sarawak yang semakin berkembang dalam menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa di samping mempromosikan kecemerlangan kompetitif dan pertumbuhan pelancongan.
Edisi tahun ini mendapat sokongan daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), sekali gus menunjukkan keyakinan institusi yang kukuh terhadap peranan acara ini dalam pembangunan sukan serta peningkatan profil global Sarawak.
Sepanjang tiga edisi terdahulu, Sarawak Hornbill Team Cup telah menjadi acara penting dalam kalendar sukan tahunan negeri, mencatatkan pertumbuhan yang konsisten dari segi penyertaan dan pengiktirafan, didorong oleh format pertandingan berpasukan yang unik serta piawaian penganjuran yang tinggi.
Ia juga berfungsi sebagai platform penting untuk memupuk bakat baharu dengan mendedahkan mereka kepada pertandingan bertaraf tinggi bersama pemain boling elit yang berpengalaman.
Diperakui oleh Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF), Persekutuan Boling Asia (ABF) dan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), kejohanan ini memenuhi penanda aras antarabangsa dari segi piawaian teknikal, pengadilan dan pengurusan pertandingan.
Dianjurkan oleh Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), SHTC 2026 telah mencapai kapasiti penuh dengan penyertaan 40 pasukan, sekali gus menyerlahkan reputasi kejohanan yang semakin meningkat serta permintaan yang tinggi.
Ia bakal menyaksikan penglibatan 180 peserta, termasuk atlet, jurulatih dan pegawa berentap untuk memburu kejuaraan.
Penyertaan antarabangsa akan menampilkan pasukan dari Singapura, Hong Kong dan Brunei Darussalam, sekali gus menambah daya tarikan global kejohanan ini.
Di peringkat domestik, kontinjen kuat dari Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah serta pasukan tuan rumah, Sarawak, dijangka bersaing, menjanjikan kejohanan yang sengit sepanjang minggu.
Kejohanan ini akan dipertandingkan dalam empat acara — Beregu, Trio, Pasukan Empat dan Bakers’ Four — satu format yang menekankan kerja berpasukan, strategi dan konsistensi, di samping memberikan pendedahan kompetitif yang bernilai kepada atlet senior dan atlet yang sedang membangun.
Selain pertandingan, kejohanan ini juga mencerminkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial melalui satu inisiatif khas bagi menyokong Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal (PERKATA) yang dijadualkan pada 31 Januari, sekali gus menonjolkan dedikasi penganjur terhadap pembangunan sukan inklusif dan penglibatan komuniti.
Dengan penyertaan penuh pasukan, penglibatan antarabangsa yang kukuh serta sokongan berterusan daripada badan sukan dan pelancongan utama, Sarawak Hornbill Team Cup 2026 bersedia untuk terus mengangkat kedudukan Sarawak sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf dunia serta pusat kecemerlangan boling sepuluh pin di rantau ini. – EDISI UKAS