Pertambahan Penduduk Desak Penambahan 43 Jawatan KMKK Di Limbang
LIMBANG: Pertambahan penduduk serta pembukaan penempatan baharu di Bahagian Limbang mewujudkan keperluan mendesak untuk menambah 43 jawatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus cekap dan berkesan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Kota , Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, keperluan tersebut timbul selaras dengan perkembangan pesat kawasan penempatan yang memerlukan pemantauan serta pentadbiran lebih tersusun di peringkat akar umbi.
“Walau bagaimanapun, oleh kerana terdapat pertambahan penduduk dan penempatan, maka ada keperluan untuk mewujudkan 43 jawatan baharu KMKK,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Makan Malam Pemimpin dan Ketua Masyarakat Bahagian Limbang 2026 di Dewan Suarah Limbang pada Jumaat.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, cadangan penambahan jawatan tersebut telah dikemukakan oleh Pejabat Residen untuk pertimbangan dan kelulusan kerajaan negeri.
“Ini telah dikemukakan oleh Pejabat Residen untuk kelulusan Pejabat Setiausaha Sarawak dan saya berharap ianya mendapat kelulusan kerajaan Sarawak,” jelasnya.
Setakat ini, Bahagian Limbang mempunyai lima Temenggong, tujuh Pemanca, 34 Penghulu dan 328 Ketua Kaum yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam pentadbiran komuniti.
Penambahan jawatan tersebut dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh struktur pentadbiran komuniti selaras dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan kawasan baharu di Limbang.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri,Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Pengelola Sarawakku Sayang 2026, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua Masyarat dan Ketua Kaum di Limbang-EDISI UKAS