LIMBANG: Kerajaan Sarawak bakal mengumumkan bantuan baharu sebagai usaha membantu rakyat negeri ini mengimbangi kesan daripada peningkatan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perincian mengenai bantuan tersebut akan diumumkannya selepas mesyuarat kabinet negeri pada minggu hadapan.
Beliau juga memberi bayangan bantuan tersebut akan menelan peruntukan yang besar.
‘Insya-Allah saya akan umum, ada lagi bantuan diberi minggu baru.
“Disebabkan keadaan yang ada ini, ‘cost of living’, dan detailnya kelak saya umum minggu baharu selepas kabinet kita yang berkehendakkan kewangan yang besar.
“Tapi Alhamdullillah, boleh kita laksanakan dengan dana yang ada pada hari ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat di Dewan Suarah Limbang pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-menteri Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan menteri Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat serta tetamu kenamaan yang lain.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memberi bayangan akan mengumumkan kaedah baharu dari sudut penjanaan ekonomi yang dijangka memberi pulangan besar kepada negeri ini.
Menurutnya, perincian mengenai perkara itu akan dijelaskannya semasa merasmikan Program Sarawakku Sayang 2026 di sini esok hari. - EDISI UKAS