Projek Naik Taraf Pusat Kegiatan Belia Mukah Siap Sepenuhnya
MUKAH: Projek naik taraf Pusat Kegiatan Belia Mukah di bawah inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah kini siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, bangunan tersebut akan digunakan sebagai pusat kegiatan aktiviti belia di Mukah, sama seperti fungsi bangunan Pusat Kegiatan Belia Mukah di bangunan lama Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) sebelum ini.
“Pelbagai aktiviti berkaitan digitalisasi akan menjadi pengisian di bangunan ini seperti aktiviti pemerkasaan keusahawanan, pertanian moden, aktiviti sukan dan rekreasi.
“Bukan itu sahaja, bangunan ini akan menjadi pejabat operasi untuk Pertubuhan dan Kelab yang ada di Mukah agar organisasi lebih tersusun,” katanya semasa menyempurnakan sesi serah siap projek tersebut kepada Pengerusi Pusat Kegiatan Belia Mukah Tarmizi Karnain Abdah, di sini, pada Rabu.
Royston menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa golongan belia melalui penyediaan kemudahan yang kondusif serta sokongan berterusan terhadap pembangunan modal insan di peringkat akar umbi.
Turut hadir, Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tellian Jay Keram, wakil Pejabat Daerah Mukah Nolin Gendang, agensi teknikal JKR, kontraktor Seventhwave Energy dan Timbalan Ketua Pemuda Cawangan N57 Tellian Edwin Jokelin.-EDISI UKAS