Sistem Saliran Jalan Muhibah dan Kampung Kuala Lama Siap Dinaiktaraf, Kurangkan Risiko Banjir Kilat
MUKAH: Kerja menaik taraf sistem saliran di kawasan Jalan Muhibah dan Jalan Kampung Kuala Lama di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 kini siap sepenuhnya dan dijangka dapat mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, projek tersebut merupakan langkah penyelesaian jangka pendek bagi menangani isu banjir kilat yang sering berlaku, khususnya di kawasan penempatan penduduk sekitar Jalan Muhibah.
Beliau berkata, spesifikasi projek itu telah diubah berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah RTP DUN Tellian.
“Ini memandangkan spesifikasi asal dicadangkan melibatkan kos yang besar mencecah RM400,000 hanya untuk pemindahan kemudahan utiliti di kawasan berkenaan.
“Namun, spesifikasi yang telah diputuskan untuk projek ini masih lagi memberikan impak jauh lebih baik dari keadaan asal di mana saiz ‘main drain’ lebih besar dan luas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan sesi serah siap projek daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Lama, di sini, pada Rabu.
Menurut Royston, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan dua saluran keluar bagi memastikan lebihan air hujan dapat dialirkan dengan lebih berkesan dari kawasan penempatan penduduk, terutamanya di Jalan Muhibah.
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah seterusnya adalah untuk memperbesarkan saluran keluar di bawah Jalan Utama Haji Mohd Pauzi ke sungai Kuala Lama disebabkan sistem saliran di kawasan Kampung Kuala Lama, Skim Penempatan Semula (SPS) Kuala Lama dan seluruh kawasan sekitar.
Beliau berkata, ini terutamanya di kawasan yang usang serta sempit dan ia wajib dikaji semula serta dinaiktaraf selari dengan pembangunan perumahan dan juga rumah kedai yang dibina di sekitarnya.
“Perkara ini akan dikemukakan dalam Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di bawah bajet Ramcangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 tahun ini sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi isu banjir kilat di seluruh kawasan Pasar Mukah dan kampung-kampung sekitarnya,” tambahnya.
Selepas sesi serah siap, Royston bersama pegawai DID dan Pejabat Daerah Mukah turut mengadakan lawatan tapak di sekitar Jalan Muhibah dan Kuala Lama bagi meninjau keadaan sistem perparitan di Jalan Utama dan sepanjang jalan berkenaan.
Maklumat yang diperoleh akan digunakan bagi memastikan pelaksanaan PISMA dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan penduduk Mukah.-EDISI UKAS