Institusi Kehakiman Syariah Perlu Tangkas & Adaptif Hadapi Cabaran Era Digital
KUCHING: Institusi kehakiman syariah di Sarawak perlu lebih tangkas dan adaptif dalam menghadapi cabaran era digital tanpa menggadaikan prinsip kebebasan kehakiman dan keadilan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kebebasan kehakiman merupakan prinsip asas yang menjamin mahkamah dapat menjalankan fungsi pengadilan secara bebas, adil dan saksama tanpa sebarang pengaruh luar, termasuk tekanan politik, kepentingan peribadi mahupun sentimen awam.
Menurut beliau, era ledakan maklumat tanpa sempadan hari ini menyaksikan pelbagai isu mahkamah, termasuk melibatkan kes sivil dan syariah, menjadi tular sehingga mewujudkan apa yang disifatkan sebagai ‘tribunal persepsi awam’.
“Fenomena ini telah melahirkan 'tribunal persepsi awam' di mana segelintir masyarakat sewenang-wenangnya meletakkan diri mereka sebagai "hakim" tanpa asas ilmu yang diiktiraf.
“Namun, media sosial adalah realiti zaman yang tidak dapat kita nafikan. Institusi kehakiman perlu tangkas beradaptasi tanpa menggadaikan prinsip keadilan. Keseimbangan antara keterbukaan, akauntabiliti, dan integriti perlu dipelihara demi melestarikan kepercayaan awam dalam era digital ini.
“Sebarang ulasan awam, persepsi atau tekanan melalui media sosial tidak seharusnya menjejaskan kebebasan dan kebijaksanaan hakim dalam membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang- undang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 di sini, pada Khamis.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, keputusan yang dibuat secara bebas dan berlandaskan hukum syarak serta kedaulatan undang-undang akan menjadi asas penting dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kewibawaan Mahkamah Syariah sebagai institusi yang profesional dan berintegriti.
Sehubungan itu, Premier Sarawak turut menekankan kepentingan integriti dalam kalangan hakim syarie serta seluruh warga kehakiman syariah yang memikul amanah besar bukan sahaja dari sudut perundangan, malah dari aspek moral dan agama.
Beliau yakin bahawa bahawa sistem kehakiman dan perundangan syariah di Sarawak akan terus mengekalkan piawaian atau standard integriti yang tinggi, bebas daripada sebarang pengaruh luar serta berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan amanah.
Turut hadir ialah anakanda Premier Sarawak Dayang Norjihan Abang Abdul Rahman Zohari, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi.-EDISI UKAS