Pusat Sokongan Sosial Komuniti Akan Ditubuhkan di Sibu
SIBU: Sebuah Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) akan ditubuhkan di Sibu dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang berkata, ia akan menjadi hab intervensi sosial dan pusat rujukan bersepadu sehenti bagi menyokong individu serta keluarga yang berdepan dengan keganasan rumah tangga, krisis keluarga dan cabaran sosial lain.
Jelasnya, CSSC akan berperanan sebagai platform pusat bagi program kesedaran sosial, inisiatif advokasi, sokongan kesihatan mental serta usaha pemulihan komuniti.
“Pusat ini juga akan menyediakan perkhidmatan intervensi asas, pengurusan kes dan rujukan kepada agensi kerajaan, institusi penjagaan kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu memaklumkan bahawa pusat berkenaan turut menyediakan penginapan transit sementara bagi mangsa keganasan rumah tangga, bagi menjamin keselamatan dan perlindungan semasa situasi krisis.
Selain itu ujarnya, antara komponen lain yang dirancang termasuk program pemerkasaan wanita dan latihan kemahiran, perkhidmatan kesihatan mental komuniti, ruang aktiviti belia dan kanak-kanak, bank makanan komuniti serta inisiatif dapur sup.
Dalam pada itu, beliau juga memberi perhatian serius terhadap kes keganasan rumah tangga di Sibu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Walaupun tidak mengulas secara terperinci mengenai kes berkenaan, beliau mengecam sekeras-kerasnya semua bentuk keganasan rumah tangga, sama ada fizikal, lisan, emosi atau psikologi, yang disifatkannya sebagai isu sosial serius dan tidak wajar dianggap sebagai urusan peribadi keluarga semata-mata. -EDISI UKAS