Pendekatan MBM Bangunkan Perusahaan Tempatan Wajar Dicontohi
MIRI: Pendekatan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam membangunkan perusahaan tempatan serta mengoptimumkan penggunaan kawasan bandar wajar dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan lain.
Yang Dipertua Majlis Daerah Gerik, Perak, Mohamad Fitri Hassan berkata, inisiatif MBM memanfaatkan kawasan bandar sebagai pusat aktiviti ekonomi berimpak tinggi bukan sahaja membantu peniaga kecil dan pengusaha tempatan, malah menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih tersusun dan lestari.
“Pendekatan ini memastikan kawasan bandar tidak terbiar, sebaliknya dimanfaatkan secara optimum melalui perancangan yang teratur dan berfokus. Ia wajar dijadikan rujukan oleh pihak berkuasa tempatan lain, termasuk Majlis Daerah Gerik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan Majlis Daerah Gerik dalam lawatan rasmi yang dianjurkan oleh MBM ke Tapak Jualan Buah-buahan Bermusim di Terminal Bas Lama Pujut Corner, pada Khamis.
Mohamad Fitri turut menyifatkan pencapaian MBM dalam mengurus pembangunan bandar secara terancang sebagai satu model pengurusan yang boleh dijadikan panduan dalam memperkasa ekonomi tempatan dan sektor pelancongan.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada program lawatan delegasi Majlis Daerah Gerik ke Miri selama empat hari bagi bertukar pandangan berkaitan pentadbiran tempatan, pengurusan bandar serta pembangunan pelancongan.
Dalam suasana mesra, delegasi Gerik turut diberi pendedahan terhadap potensi pelancongan berasaskan pengalaman melalui tapak jualan buah-buahan bermusim tersebut, termasuk menikmati pelbagai varieti durian tempatan Sarawak seperti Pukak dan Isu, selain rambutan dan langsat.
Rata-rata ahli rombongan menyatakan keterujaan terhadap keunikan rasa durian Sarawak yang disifatkan lebih manis dan berbeza berbanding durian di Semenanjung, selain kepelbagaian varieti serta harga yang berpatutan.
Tapak Jualan Buah-buahan Bermusim di Terminal Bas Lama Pujut itu diwujudkan oleh MBM sebagai kawasan khas penjualan buah melalui kaedah pengurusan berpusat bagi memastikan kebersihan persekitaran, penyusunan gerai dan pengurusan sisa dilaksanakan dengan lebih sistematik.
MBM juga merancang penambahbaikan kemudahan di lokasi berkenaan secara berperingkat bagi menjadikannya sebuah pusat buah-buahan bermusim yang lebih lengkap, sekali gus menarik lebih ramai peniaga serta pengunjung.
Inisiatif ini bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan, malah menyumbang kepada pembangunan pelancongan berasaskan pengalaman dan budaya makanan tempatan, di samping memperkukuh kerjasama serta pertukaran idea antara pihak berkuasa tempatan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Ariffin Mohamad serta Setiausaha Pejabat Yang Dipertua Majlis Daerah Gerik Ahmad Fazril Ramli.-EDISI UKAS