IPG Kampus Rajang Perkasa Budaya Inovasi, Lahirkan Pendidik Progresif
MERADONG: Pembudayaan inovasi dalam kalangan warga pendidik perlu terus diperkasakan bagi melahirkan tenaga pengajar yang kreatif, progresif dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran pertandingan seperti inovasi bukan sekadar platform mencungkil bakat, malah merupakan pemangkin penting dalam menjana idea baharu yang mampu memberi impak signifikan kepada pembangunan institusi pendidikan.
Beliau menambah, usaha tersebut selari dengan keperluan semasa untuk memperkasa budaya kerja yang kreatif, progresif dan berdaya saing dalam kalangan warga pendidik.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penangguhan Pertandingan Inovasi dan Kreativiti serta Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 anjuran IPG Kampus Rajang di Dewan IPG Kampus Rajang, Bintangor pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen berterusan penting untuk menyokong pembangunan IPG Kampus Rajang, khususnya dari aspek infrastruktur, kebajikan warga kampus serta pelaksanaan program berimpak tinggi.
Tambah beliau, institusi latihan perguruan seperti IPG Kampus Rajang memainkan peranan strategik dalam membina modal insan berkualiti yang menjadi tunjang kepada kemajuan negeri dan negara.
Sementara itu, Datuk Ding menyifatkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian warga kampus melalui penghayatan nilai silaturahim, kemaafan dan kesyukuran.-EDISI UKAS