Sarawak Perkukuh Pembangunan Bakat Semikonduktor Menerusi Program Digital IC Design
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor menerusi Majlis Penyampaian Sijil Tamat Program (Token of Completion Ceremony) Program Penguasaan Semikonduktor – Reka Bentuk Litar Bersepadu Digital (Digital IC Design) Kohort 1.
Majlis berlangsung di Akademi SMD, di sini, pada Jumaat menandakan kejayaan seramai 10 peserta yang menamatkan program peningkatan kemahiran berasaskan industri selama lima bulan, hasil kerjasama strategik antara SMD Semiconductor dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil, yang sebelum itu berkongsi pengalamannya dalam industri semikonduktor, berkata graduan Kohort 1 kini bersedia memainkan peranan lebih luas bukan sahaja di peringkat negeri, malah dalam ekosistem semikonduktor global.
Beliau berkata, keperluan terhadap pereka IC digital berkemahiran tinggi semakin kritikal dalam menyokong pembangunan teknologi generasi baharu serta ketahanan industri jangka panjang.
“Ketika Sarawak memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor, kejayaan kohort pertama ini membuktikan bahawa dengan latihan yang tepat serta penyelarasan industri yang kukuh, bakat tempatan mampu menyumbang secara yakin dan kompetitif dalam ekosistem semikonduktor global yang saling berhubung,” katanya.
Majlis penyampaian sijil tamat program itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan bakat merupakan elemen teras kejayaan teknologi dan transformasi ekonomi negeri.
“Teknologi hanya akan berjaya apabila bakat berkembang. Program ini membuktikan bagaimana dasar kerajaan diterjemahkan kepada keupayaan sebenar rakyat melalui latihan berasaskan industri,” katanya.
Beliau berkata, reka bentuk IC digital merupakan komponen penting dalam rantaian nilai semikonduktor global kerana ia menterjemahkan idea kepada seni bina teknologi yang menyokong pembangunan kecerdasan buatan, elektrifikasi, tenaga boleh baharu serta infrastruktur digital.
Tambah beliau, pendekatan Kerajaan Sarawak adalah jelas iaitu memastikan pendidikan dan latihan dilaksanakan secara berorientasikan hasil, dipacu industri serta bersedia menghadapi keperluan masa depan.
Sementara itu, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar berkata, program tersebut mencerminkan model pembangunan bakat yang tersusun melalui penyelarasan dasar kerajaan, kepimpinan industri dan pelaksanaan institusi latihan.
“Program ini bukan inisiatif simbolik, sebaliknya merupakan asas penting dalam membina keupayaan tempatan dan menyokong Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030, khususnya pada peringkat rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan seperti CENTEXS memastikan pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara berkesan, mampan dan berimpak tinggi.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Peguam Negara Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pengarah SMD Semiconductor, Datuk John Wayne Chamberlin Sirau, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil, ketua-ketua jabatan daripada kementerian dan agensi, ahli lembaga pengarah SMD Semiconductor, rakan strategik, serta para graduan kohort pertama. - EDISI UKAS