Rancangan Pendidikan Negara Perkukuh Pendidikan Awal, Fokus Intervensi Seawal Sekolah Rendah
KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara yang menetapkan kemasukan murid ke sekolah pada usia enam tahun serta pendidikan prasekolah bermula seawal lima tahun disifatkan sebagai langkah wajar dalam memperkukuh asas pendidikan dan membolehkan intervensi awal dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata dasar tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan dibuat berdasarkan keperluan semasa sistem pendidikan negara.
“Rancangan Pendidikan Negara ini memang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan, termasuk dasar kemasukan ke sekolah pada usia enam tahun dan prasekolah pada usia lima tahun. Sebenarnya, perkara ini bukan sesuatu yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Sijil Program Semiconductor Mastery anjuran SMD Semiconductor di SMD Academy, La Promenade, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kemasukan ke sekolah pada usia enam tahun telah lama diamalkan sejak dahulu dan tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak, malah lebih relevan dalam konteks semasa apabila kanak-kanak sudah terdedah awal kepada persekitaran pembelajaran.
“Sekarang kanak-kanak sejak kecil lagi sudah dihantar ke play school. Mereka belajar bersosial, berinteraksi dan bermain sambil belajar.
"Jadi apabila sampai usia empat atau lima tahun, mereka sebenarnya sudah biasa dengan suasana pembelajaran,” jelasnya.
Mengulas kebimbangan terhadap kesediaan kanak-kanak di kawasan luar bandar, beliau berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan awal dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Kita telah banyak menambah baik kemudahan termasuk tadika di kawasan luar bandar melalui KEMAS dan juga tadika Sedidik di bawah kerajaan Sarawak.
"Walaupun tidak semua keadaan dapat dipenuhi, majoriti masyarakat sebenarnya sudah bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan penilaian akademik di peringkat awal persekolahan, termasuk cadangan peperiksaan sekitar Tahun Empat, bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan murid lebih awal dan bukan bersifat menghukum.
“Penilaian awal ini penting untuk intervensi. Ia tidak bermaksud murid yang gagal akan dibuang sekolah. Tetapi ia memberi petunjuk kepada kita tentang bentuk bantuan dan program sokongan yang perlu diberikan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kelewatan membuat intervensi boleh memberi kesan jangka panjang kepada murid.
“Kalau kita tunggu hingga Tahun Enam atau Tingkatan Tiga baru sedar murid tidak boleh membaca dan menulis, itu sudah terlalu lewat. Sebab itu intervensi awal adalah lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan peperiksaan yang lebih ketat di peringkat tertentu seperti Tahun Enam bagi tujuan kemasukan ke sekolah antarabangsa tidak menjejaskan program intervensi sedia ada dan selari dengan pendekatan penilaian di peringkat nasional.- EDISI UKAS