Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tunaikan Solat Jumaat di Masjid Darul Ikhlas, Kampung Sindang
KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menunaikan Solat Fardu Jumaat di Masjid Darul Ikhlas, Kampung Sindang, Kota Samarahan, tengah hari tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Ahmad Sukarno Saini, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak serta barisan pemimpin masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, Pengerusi Masjid Darul Ikhlas Kampung Sindang Mohamad Fathi Mat bersama Ahli Jawatankuasa Masjid, Penghulu Kampung Sindang Seraiee Sajili, Ketua Kaum Kampung Sindang Hulu Kassim Drahim, Ketua Kaum Kampung Sindang Hilir Padil Hajimi serta para jemaah dan penduduk setempat.
Solat Fardu Jumaat telah diimamkan oleh Pegawai Agama Islam Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan, Bahrin Kawi yang turut menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Syaaban Persediaan Menyambut Ramadan’.
Usai solat, Tun Pehin Sri berkenan menandatangani buku lawatan rasmi Masjid Darul Ikhlas Kampung Sindang dan seterusnya merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para dif kenamaan serta Ahli Jawatankuasa Masjid.
Sebelum berangkat pulang, beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama para jemaah, menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak serta menyantuni masyarakat setempat. -EDISI UKAS