Karnival Sukan Integrasi Komuniti Perkukuh Silaturahim di Daerah Lundu
LUNDU: Karnival Sukan Integrasi Komuniti anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu dan Pusat Khidmat ADUN Opar serta Tanjung Datu berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta dan penduduk setempat dalam satu platform yang memperkukuh hubungan antara penjawat awam, komuniti dan media.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata penganjuran program julung kali diadakan itu memberi impak positif dalam menyatukan empat penjuru rakyat menerusi aktiviti sukan persahabatan yang melibatkan warga UKAS, MAKSAK, jabatan kerajaan serta komuniti setempat.
“Program ini bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, malah berjaya mengeratkan silaturahim antara penjawat awam dan masyarakat.
Saya berharap ia tidak terhenti di sini, sebaliknya diteruskan sebagai acara tahunan peringkat daerah dengan penglibatan lebih meluas,” katanya ketika ditemui media pada Program Intergrasi Komuniti @ Lundu “Sukan Menyatukan Komuniti” anjuran UKAS di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, penyertaan kira-kira 300 pemain serta kehadiran penonton melebihi 500 orang membuktikan sambutan amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha menyatukan komuniti melalui aktiviti berfaedah.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara jabatan kerajaan, komuniti setempat dan pihak media.
“Peranan media amat penting sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat. Justeru, program seperti ini membantu membina hubungan lebih erat antara masyarakat, kerajaan dan agensi media,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata program Integrasi Komuniti UKAS di Lundu merupakan permulaan kepada pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan rakyat.
“UKAS sebagai medium penyebaran maklumat kerajaan ingin turun ke daerah-daerah untuk mendekati masyarakat, memahami keperluan setempat serta memperkukuh hubungan bersama pemimpin kawasan.
Di samping itu, program ini turut memberi ruang kepada warga UKAS mengamalkan gaya hidup sihat dan bersedia menghadapi cabaran tugas pada tahun mendatang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Lundu, Pihak Kementerian Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak(MYSED), serta komuniti setempat atas sokongan padu menjayakan program berkenaan walaupun dilaksanakan secara sederhana namun penuh makna.
Program tersebut melibatkan pelbagai acara sukan antaranya badminton, pickleball dan tarik tali dan bola sepak sekali gus mencetuskan suasana muhibah dalam kalangan peserta.-EDISI UKAS