Pendidikan Generasi Muda Terus Jadi Keutamaan di Parlimen Petra Jaya
KUCHING: Pendidikan generasi muda terus diberi keutamaan di Parlimen Petra Jaya sebagai asas penting dalam membina masa depan negeri dan negara yang berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, tumpuan terhadap bidang pendidikan merupakan pelaburan strategik dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak tinggi yang bakal menerajui masa depan Sarawak.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, kekuatan sesebuah negeri bergantung kepada kualiti anak mudanya, justeru pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pelajaran.
“Apabila kita mahu melihat masa depan negara yang kukuh, kita perlu bermula dengan membina generasi muda yang kuat dari segi ilmu, kemahiran dan sahsiah.
“Sebab itu pendidikan menjadi fokus utama Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya,” katanya ketika berucap dalam Program Petra Jaya Youth Meet Up dan Majlis Penyampaian Sumbangan Galakan Pendidikan kepada 24 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Amar Fadillah memaklumkan, inisiatif galakan pendidikan yang dilaksanakan sejak tahun 2004 telah menjadi amalan tahunan Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya dalam menyokong perjalanan akademik anak-anak kawasan itu.
Menurut beliau, sepanjang tahun 2025, seramai 723 pelajar Petra Jaya telah menerima manfaat sumbangan pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM172,500 menerusi lapan pusingan agihan.
Dalam program ini, sumbangan galakan pendidikan turut disampaikan kepada 24 penerima terpilih sebagai dorongan dan sokongan moral dalam meneruskan pengajian masing-masing.
Turut hadir ialah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Ir Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie.-EDISI UKAS