914 Pelajar Bukit Saban Terima Manfaat Program ‘Back To School’
BETONG: Seramai 914 pelajar prasekolah dan sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima manfaat daripada Program ‘Back To School’ yang dianjurkan bagi meringankan beban ibu bapa sempena permulaan sesi persekolahan baharu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mengutamakan pendidikan dan pembangunan luar bandar.
“Bantuan persekolahan ini penting kepada pelajar untuk meringankan beban kewangan keluarga ketika mereka memulakan penggal akademik baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program ‘Back To School’ di Dewan Sadok, Sekolah Kebangsaan (SK) St John Nanga Tiga, pada Ahad.
Sekolah yang terlibat menerima manfaat program ini ialah SK Nanga Gayau, SJKC Chung Hua Spaoh, SK St John Nanga Tiga, SK Penom, SK Spaoh, SK Suri dan SK Paku Central.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah menekankan bahawa pendidikan kekal sebagai teras kemajuan Sarawak.
Beliau menggesa ibu bapa dan guru agar bekerjasama erat dalam membimbing anak-anak terutama di kawasan luar bandar supaya cemerlang dalam akademik dan seterusnya layak menyertai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan beberapa peruntukan bagi memperkukuh infrastruktur dan sokongan pendidikan di Bukit Saban, termasuk RM1.3 juta bagi pembinaan semula asrama SK St John Nanga Tiga serta RM200,000 untuk pembinaan semula kuarters guru sekolah tersebut.
Selain itu, tujuh sekolah rendah di kawasan berkenaan masing-masing menerima RM10,000 bagi pembelian bahan bacaan, manakala Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St John Nanga Tiga diperuntukkan RM30,000.
PIBG enam sekolah lain pula menerima RM20,000 setiap satu, selain pemberian tiga unit papan pintar (Smart Board) kepada setiap sekolah sebagai sokongan pembelajaran digital.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Guru Besar SK St John Nanga Tiga Entinggi Migat, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong Emparie Tom, jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong Jason Ng, dan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban Natasha Nasa Uggah.-EDISI UKAS