Kebimbangan Kenaikan Harga Minyak Dorong Rakyat Berjimat
KUCHING: Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi mempengaruhi harga minyak global mula dirasai oleh rakyat, sekali gus mendorong mereka mengambil langkah berjimat dalam mengurus perbelanjaan harian dan kos pengangkutan.
Perkembangan ini dilihat berkait rapat dengan situasi global yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan minyak, sekali gus memberi kesan kepada harga bahan api dan kos sara hidup.
Seorang pekerja swasta, Yazid Ibrahim, 31, berkata sebagai pengguna yang menggunakan kenderaan setiap hari untuk ulang-alik kerja, perkara itu memang membimbangkan kerana ia akan meningkatkan kos sara hidup.
Menurutnya, kenaikan harga minyak turut memberi kesan rantaian kepada harga barangan.
“Apabila kos pengangkutan meningkat, peniaga juga akan menaikkan harga jualan, dan akhirnya pengguna yang akan terkesan. Jadi kita memang perlu berjimat dan lebih berwaspada dalam berbelanja,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.
Seorang pelajar, Austin Carlos Bos, 26, turut mengakui perubahan harga minyak memberi impak langsung kepada rutin hariannya.
Beliau berkata langkah seperti merancang perjalanan dan mengurangkan aktiviti tidak penting kini menjadi keutamaan.
“Kalau sebelum ini kerap bergerak jauh, sekarang mungkin akan dikurangkan dan lebih fokus kepada perbelanjaan yang perlu sahaja,” tambahnya.
Turut senada, seorang guru, Abdul Ilya’sa Azman, 27, yang berkata keperluan merancang perjalanan kini menjadi keutamaan serta mengurangkan perbelanjaan tidak penting.
“Antara langkah penting untuk menangani masalah krisis tenaga ini salah satunya adalah kita merancang perjalanan iaitu kita kena utamakan perjalanan yang penting ataupun yang memerlukan dari segi kos keperluan.
“Selain itu kita perlu kaji semula bajet dengan mengurangkan hiburan dan sebagainya, serta mengutamakan keperluan sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Zaid Alex, 31, turut menyuarakan kebimbangan terhadap faktor global seperti gangguan laluan minyak yang boleh menjejaskan harga minyak tempatan.
“Jika situasi ini berlarutan, bukan sahaja harga minyak meningkat, malah sektor lain seperti peruncitan dan barangan basah juga akan terjejas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat terus memperkenalkan langkah bersesuaian bagi memastikan harga barangan kekal terkawal.
Seorang penjawat awam, Abdul Majid Azman, 37, pula berkata beliau yakin kerajaan akan memastikan bekalan minyak terus stabil, namun ia bergantung kepada perkembangan ekonomi global.
“Apa yang penting, kerajaan perlu mempunyai perancangan rapi serta mekanisme yang berkesan bagi memastikan kestabilan ini berterusan,” katanya.
Kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara terus terjamin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof sebelum ini menegaskan kerajaan telah menyediakan pelan kontingensi termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya berlaku gangguan berpanjangan terhadap rantaian bekalan sedia ada.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla & Ezzah Syafiqah
Foto: Nur Nabilla & Ezzah Syafiqah