STB Perkukuh Kehadiran Sarawak di Pasaran Thailand Menerusi TITF Bangkok 2026
BANGKOK: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus memperkukuh kehadiran di pasaran Thailand menerusi penyertaan tahun ketiga berturut-turut dalam Thai International Travel Fair (TITF) Bangkok 2026 di Queen Sirikit National Convention Centre dari 22 hingga 25 Januari 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr. Sharzede Datu Salleh Askor berkata, penyertaan STB di TITF Bangkok 2026 mencerminkan fokus untuk memperdalam kerjasama perdagangan pelancongan, memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai Pintu Gerbang ke Borneo, serta menterjemahkan keyakinan pasaran kepada pertumbuhan ketibaan pelawat yang lebih ketara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pasaran Thailand merupakan antara pasaran yang berjaya dibina melalui kehadiran konsisten dan hubungan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Penyertaan STB di bawah Pavilion Malaysia yang diketuai oleh Tourism Malaysia turut menyokong secara langsung usaha promosi pelancongan negara selaras dengan sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penglibatan itu juga merupakan sebahagian daripada Strategi EDGE Sarawak khususnya di bawah Elevate dalam meningkatkan kesedaran destinasi di peringkat antarabangsa, serta Diversify bagi memperkukuh Thailand sebagai pasaran baru muncul di ASEAN yang melengkapi pasaran sumber tradisional Sarawak seperti Indonesia dan Singapura.
TITF Bangkok 2026 menandakan penyertaan ketiga STB dalam pameran berkenaan selepas penglibatan terdahulu di Bangkok pada 2024 dan Chiang Mai pada 2025, sekali gus mencerminkan strategi jangka panjang yang konsisten bagi membina pengiktirafan destinasi, keyakinan perdagangan serta kesedaran pengguna dalam pasaran Thailand.
Sepanjang empat hari pameran, STB mempromosikan pelbagai produk pelancongan Sarawak merangkumi warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta pengalaman pelancongan.
STB turut mengadakan sesi perbincangan dan jaringan strategik bersama ejen pelancongan, pengendali pelancongan, rakan kongsi syarikat penerbangan serta pemain industri Thailand bagi membuka ruang kepada kerjasama masa depan.
Sebagai satu-satunya negeri dari Borneo yang mewakili Malaysia dalam pameran tersebut, Sarawak tampil menonjol di Pavilion Malaysia sebagai Pintu Gerbang ke Borneo, menawarkan pendedahan khusus kepada pengunjung Thailand mengenai kekayaan budaya, landskap semula jadi yang pelbagai serta produk pelancongan unik Bumi Kenyalang.-EDISI UKAS