Dewan Kebiau Siap Sepenuhnya, Perkukuh Perpaduan dan Pembangunan Luar Bandar Song
SONG: Dewan Kebiau, Song yang dibina dengan kos RM1.92 juta telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu majlis perasmian pada Ahad.
Menurut Dato’ Sri Alexander, Dewan Kebiau bukan sekadar tempat berhimpun, tetapi simbol kemajuan dan perpaduan masyarakat Song.
"Dewan ini menyediakan kemudahan serbaguna yang selesa, moden dan inklusif untuk pelbagai aktiviti komuniti," katanya.
Projek ini siap sepenuhnya pada 13 Mei 2024 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dengan kerjasama JKR Bahagian Kapit dan Majlis Daerah Kapit.
Pada majlis tersebut, Dato Sri Alexander turut menyempurnakan penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kepada tiga Ketua Masyarakat baharu, 43 Ketua Kaum (Tuai Rumah), serta sijil penghargaan kepada tiga Ketua Masyarakat bersara.
Dalam pada itu, turut berlangsung upacara simbolik penyerahan peralatan perikanan darat di bawah Program Sosio-EkonominCommunity@SCORE RECODA oleh URDA, melibatkan sembilan peserta perikanan darat di Daerah Song.
Penyerahan ini dilaksanakan setelah program perikanan darat mendapat sambutan positif masyarakat setempat, khususnya dalam pengusahaan ikan air tawar (ikan lik mudik) dengan bantuan peralatan ini bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah dan menyokong kelestarian industri perikanan darat.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin, Pengerusi Majlis Daerah Kapit Andy Lawrence serta ketua-ketua masyarakat tempatan. -EDISI UKAS