Kompleks AOC Lawas Dijangka Mula Beroperasi Mac Ini
LAWAS: Kompleks Pejabat Pentadbiran AOC Lawas dijangka mula diduduki oleh jabatan-jabatan kerajaan di daerah Lawas selewat-lewatnya pada Februari tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di utara Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, operasi pentadbiran di kompleks berkenaan dijadualkan bermula sepenuhnya pada Mac, sekali gus membolehkan urusan rakyat dengan agensi kerajaan dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih tersusun, moden dan kondusif.
“Pembinaan Kompleks AOC Lawas bukan sekadar penyediaan infrastruktur fizikal, malah merupakan pelaburan strategik kerajaan negeri dalam mempertingkat kecekapan pentadbiran, mempercepat penyampaian perkhidmatan serta merapatkan jurang akses kemudahan kerajaan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan tersebut pada Ahad.
Tambah beliau, projek ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan seimbang di seluruh wilayah, termasuk kawasan sempadan, selaras dengan aspirasi memperkukuh tadbir urus serta kesejahteraan rakyat.
Kompleks AOC Lawas dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi setempat, selain meningkatkan imej perkhidmatan awam yang lebih profesional dan mesra rakyat.
Turut mengiringi lawatan ialah Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Ketua Penolong Pengarah SHRU Rody Bunsu, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Jurutera Bahagian JKR Limbang Ir. Ts. Br. PMr. Louis Jonathan Philip, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Limbang Iwan Halmi, Penguasa Tanah Jabatan Tanah dan Survei Limbang Bakeri Samsudin serta Setiausaha Majlis Daerah Limbang Michelle Hildayne Jering Anthony Luta.-EDISI UKAS