MAMBONG: Penduduk Kampung Braang Bidak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kambuh kini boleh menarik nafas lega selepas menerima sumbangan sebanyak 11 unit tangki air yang diserahkan dalam Majlis Penyerahan Tangki Air DUN N.19 Mambong.
Majlis diadakan di Balairaya Kampung Braang Bidak pada petang Ahad telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil sebagai langkah prihatin bagi meringankan beban penduduk yang masih berdepan masalah gangguan dan tekanan air rendah.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa Persatuan Utiliti Mambong telah berjaya menyalurkan bantuan tangki air kepada penduduk Kampung Braang Bidak sebagai penyelesaian sementara, khususnya ketika bekalan air tidak stabil.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun kampung berkenaan mempunyai sistem bekalan air, masalah kegagalan bekalan dan tekanan rendah masih kerap berlaku, justeru projek bekalan air dari Kampung Bengoh sedang dilaksanakan untuk disalurkan ke seluruh kampung dalam kawasan Mambong sebagai penyelesaian jangka panjang.
Menurut beliau, pemberian tangki air ini merupakan sokongan praktikal sementara kepada penduduk yang sering terkesan dengan isu bekalan air, selaras dengan cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak berkaitan.
Selain itu, Datuk Dr. Jerip memaklumkan bahawa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah membuka tender bagi projek bekalan air fasa kedua yang melibatkan kampung-kampung sekitar kawasan Puncak Borneo, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan asas luar bandar.
Beliau turut menasihati penduduk yang kurang berkemampuan dan menghadapi kekangan kos penyambungan utiliti supaya mengemukakan surat permohonan kepada Pejabat Pusat Khidmat ADUN Mambong bagi mendapatkan bantuan dana.
Beliau menegaskan komitmen pihaknya untuk terus mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu utiliti di DUN Mambong, termasuk mendapatkan peruntukan daripada pelbagai agensi berkaitan demi kesejahteraan penduduk luar bandar.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap, Penghulu Bidayuh Kawasan Braang dan Bengoh Tora Jong Sen serta Ketua Kaum Kampung Braang Bidak Burn Ambel.-EDISI UKAS