Banjir: 25 Penduduk Kampung Seruyuk Diarah Pindah Ke PPS
SEBUYAU: Penduduk Kampung Seruyuk di sini diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan paras air yang semakin meningkat dan dikhuatiri menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Pemindahan membabitkan seramai 25 orang mangsa dari lapan buah rumah di situ sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan cuaca dan kenaikan paras air semasa.
Pihak berkuasa bersama agensi berkaitan sedang memantau situasi dari semasa ke semasa di PPS yang telah dibuka di Masjid Lama Kampung Seruyuk bagi menempatkan penduduk terlibat dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas sebagai tanda keprihatinan dan sokongan pihak berkuasa terhadap kebajikan penduduk Kampung Seruyuk yang disampaikan oleh Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.
Penduduk dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa, mengutamakan keselamatan diri serta membawa keperluan asas sekiranya diminta berpindah.-EDISI UKAS