Projek Mesra Rakyat PMR Tingkat Keselesaan Penduduk Bintangor dan Sarikei
SARIKEI: Pelaksanaan beberapa Projek Mesra Rakyat (PMR) di Parlimen Sarikei terus memperlihatkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemudahan asas dan keselesaan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata pelaksanaan projek-projek tersebut bertujuan memperbaiki keadaan infrastruktur yang sedia ada.
“Langkah ini diambil bagi melancarkan pergerakan harian penduduk serta mengurangkan risiko keselamatan akibat jalan yang rosak atau tidak berturap,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wakilnya, Wong Soon Mee, ketika hadir pada sesi pengesahan siap kerja projek di beberapa lokasi terlibat, di sini pada Isnin.
Antara projek penambahbaikan yang dilaksanakan ialah pembinaan jalan konkrit di Jalan Yii Ung King, Batu 6, Jalan Kelupu, Bintangor, pembinaan jalan konkrit di Jalan Sheng En, Sungai Mador, Bintangor serta projek menaik taraf dan membina jalan konkrit di Jalan Tak Sing Lama, kawasan Jalan Darat Batu 2½ KJD, Bintangor.
Selain itu, satu lagi projek PMR turut dilaksanakan melibatkan penambahbaikan dan pembinaan papan konkrit di halaman Rumah Liman Ubak, Sungai Kesa, Sarikei, bagi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk, khususnya ketika musim hujan.
Menurut Dato’ Sri Huang, Kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan yang bersesuaian bagi memastikan keperluan rakyat di peringkat akar umbi terus diberi perhatian selaras dengan aspirasi pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS