Sarawak Di Peta Dunia Tenis Antarabangsa, SLTA Terima Pengiktirafan Emas ATF
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya di pentas sukan antarabangsa selepas Sarawak Lawn Tennis Association (SLTA) menerima Anugerah Pengiktirafan Emas (Gold Recognition Award) daripada Asian Tennis Federation (ATF).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengiktirafan berprestij itu mencerminkan tahap profesionalisme, komitmen serta keupayaan tinggi SLTA dalam menganjurkan kejohanan tenis antarabangsa secara konsisten dari tahun ke tahun.
Beliau berkata, pengiktirafan emas itu turut mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam sukan tenis, selain meningkatkan keyakinan badan sukan dunia terhadap keupayaan negeri ini sebagai tuan rumah kejohanan bertaraf antarabangsa.
“Anugerah ini bukan mudah untuk diperoleh kerana ia ditandatangani sendiri oleh Presiden ATF dan hanya diberikan kepada penganjur yang memenuhi piawaian antarabangsa dari segi pengurusan kejohanan, kemudahan, operasi serta pengalaman atlet.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden SLTA, Dato Patrick Liew Chin Joon serta seluruh pasukan SLTA atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam membangunkan sukan tenis di Sarawak sehingga berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa yang jarang diperoleh oleh persatuan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kalendar Kejohanan Tenis Sarawak 2026 dan Anugerah Asian Tennis Federation (ATF) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini pada Isnin.
Katanya, keupayaan Sarawak sebagai penganjur kejohanan sukan bertaraf dunia terus terbukti apabila SLTA bakal menganjurkan empat kejohanan tenis antarabangsa secara berturut-turut selama 20 hari pada April hingga Mei tahun hadapan.
Antara kejohanan yang akan berlangsung termasuk 44th Premier Sarawak Cup (ITF World Tennis Tour Junior J300), World Chinese Tennis Federation (WCTF) Competition, ITF World Junior Team Competition (U14) Boys Asia/Oceania Qualifying, serta ITF World Junior Team Competition (U14) Girls Asia/Oceania Qualifying.
“Penganjuran kejohanan secara ‘back-to-back’ untuk tempoh panjang ini jarang berlaku di peringkat antarabangsa dan mencerminkan tahap organisasi serta komitmen tinggi SLTA.
“Penganjuran empat kejohanan antarabangsa tanpa selang masa yang panjang bukan sahaja menguji keupayaan logistik dan pengurusan, malah membuktikan keyakinan badan tenis antarabangsa terhadap Sarawak dari segi kemudahan, kepakaran teknikal dan tahap profesionalisme,” tambahnya.
Beliau menambah, kejayaan Sarawak menjadi antara venue pilihan bagi penganjuran kejohanan antarabangsa turut menyumbang kepada pemilihan negeri ini sebagai salah satu lokasi pertandingan tenis Sukan SEA, selain memperkukuh pembangunan bakat tenis di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS