Badan Swasta, Individu Diajak Bantu Laksana Aktiviti Amal
SIMANGGANG: Pihak swasta dan individu dialu-alukan untuk melaksanakan aktiviti amal bagi membantu golongan kurang bernasib baik, terutama sempena musim perayaan, bagi meringankan beban dan menyemarakkan kegembiraan komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, kehadiran pihak swasta dan perseorangan dalam aktiviti amal amat penting bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan memerlukan.
"Pendekatan ini harus menjadi contoh dalam kalangan golongan swasta bagi menyampaikan rasa terima kasih dengan berkongsi sedikit keuntungan dengan golongan yang memerlukan agar mereka turut merasa kegembiraan dalam musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Justeru, saya memohon agar golongan swasta tampil untuk membantu golongan kurang bernasib baik tanpa mengira status kaum dan agama acap kali berlangsungnya musim perayaan di negara ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian semasa Majlis Makan Amal dan Kasih Sayang sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di sini baru-baru ini.
Datuk Francis Harden juga menyeru semua pihak agar sentiasa memelihara hubungan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan mereka demi menonjolkan imej Sarawak dalam negara ini.
"Kita harus menampilkan Sarawak sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya serta tradisi terhadap penduduk luar dan seterusnya dijadikan contoh dalam usaha membina semangat toleransi dan perpaduan," katanya.
Hadir sama Walikota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Anthony Abell Chendan, Setiausaha MDSA, Mohd Rizal Zakaria, wakil Ketua Polis Daerah, IPD Sri Aman, ASP Jorasan Chawat serta pemimpin masyarakat setempat. -EDISI UKAS
Dilaporkan oleh: Valentine
Foto: Pusat Khidmat DUN Simanggang