Jambatan Batang Lupar Dijangka Dibuka Sebelum Perayaan Gawai Tahun Ini
SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar No.1 dijangka dibuka kepada orang awam menjelang akhir Mei ini selepas pembinaannya mencapai tahap kemajuan 94.6 peratus mengikut jadual yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek infrastruktur bernilai RM848.75 juta itu kini berada di fasa akhir pelaksanaan dan dijadual siap sepenuhnya pada 15 Mei 2026.
"Projek ini berjalan lancar mengikut jadual biarpun terdapat masalah teknikal di Pier 52, namun masalah tersebut dapat diatasi, sebab itu kemajuan berjalan dengan baik
“Ia akan siap pada Mei. Maknanya sebelum perayaan Gawai, ia akan dibuka kepada orang ramai," katanya ditemui ketika lawatan terakhir dan gimik simbolik 'Final Stitching' di tapak projek di Kampung Beliong, Sebuyau, pada Isnin.
Datuk Ir Aidel menambah, pembinaan Jambatan Batang Lupar No.1 merupakan antara projek infrastruktur utama negeri Sarawak yang dijangka memberi impak besar dalam meningkatkan jaringan perhubungan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memudahkan pergerakan rakyat, khususnya di kawasan Sebuyau dan sekitarnya.
Jelasnya, terdapat sembilan lagi jambatan yang akan disiapkan pada tahun ini sekali gus memudahkan pengurangan masa perjalanan dari satu bahagian ke bahagian lain yang sebelum ini mengambil masa yang lama.
"Jaringan jalan raya di kawasan tengah dan pedalaman negeri ini akan lengkap sepenuhnya dengan siapnya jambatan-jambatan tersebut, disokong oleh Lebuhraya Pan Borneo, laluan jalan pesisir pantai serta Lebuh Raya Utama Kedua.
"Ini bermakna semua rangkaian jalan ini saling melengkapi antara satu sama lain di mana adanya kewujudan jalan-jalan baharu, termasuk jalan penghubung (spur roads) yang menghubungkan Jalan Pan Borneo dan jalan pesisir pantai, sudah tentu ia melengkapkan jaringan jalan raya di kawasan ini.
"Keadaan ini seterusnya memudahkan kehidupan penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai," jelas beliau.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Adj. Prof Ir. Ts Gs Br Pmr Dr. Cassidy Morris, Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Wisil Lichok serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS