STIDC Meterai Perjanjian Pemegang Saham Bersama PMW, Perkasa Pertumbuhan Industri Tanjung Manis
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) memeterai Perjanjian Pemegang Saham bersama PMW International Sdn Bhd di Wisma Sumber Alam, Ibu Pejabat STIDC, Petra Jaya, sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan industri di Tanjung Manis.
Kerjasama ini dilihat mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah Sarawak serta mengukuhkan kedudukan Tanjung Manis sebagai pintu masuk utama sektor perindustrian negeri.
Pengurus Besar STIDC, Datu Zainal Abidin Abdullah dalam satu kenyataan media pada Khamis berkata, Tanjung Manis merupakan kawasan keutamaan yang diamanahkan kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan luar bandar menerusi projek Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA).
Menurut beliau, penglibatan ekuiti STIDC dalam PMW Winabumi (Sarawak) Sdn Bhd membuktikan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkasa pembangunan industri berasaskan kayu dan menyokong agenda perindustrian negeri sejajar dengan aspirasi PCDS 2030.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif PMW International Sdn Bhd, Lee Hon Hwa memaklumkan pihaknya menyasarkan pengeluaran cerucuk asas, spun piles, cerucuk persegi serta tiang konkrit buatan tempatan bagi menyokong pertumbuhan infrastruktur di Sarawak dan rantau ini.
Pembinaan kilang dijangka mengambil masa kira-kira setahun dan beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung 2027, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat serta menarik lebih ramai pelabur industri ke Tanjung Manis.
Kerjasama ini menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan dan memacu pembangunan industri yang mampan di Sarawak.-EDISI UKAS