Ramah Tamah Aidilfitri JKSS Sarikei Perkukuh Jalinan Agensi dan Komuniti
SARIKEI: Pendekatan merapatkan jurang antara agensi kerajaan dan komuniti terus diperkukuh apabila Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Sarikei menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri sebagai platform memperkasa jalinan ukhuwah dan keharmonian setempat pada Khamis.
Majlis yang berlangsung di Pejabat JKSS Bahagian Sarikei itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta komuniti dalam suasana santai dan inklusif, sekali gus memperkukuh interaksi secara langsung antara institusi dan masyarakat.
Program dari jam 9 pagi hingga 2 petang itu disertai wakil daripada 19 agensi kerajaan serta jawatankuasa masjid, mencerminkan komitmen berterusan dalam memupuk kerjasama dan semangat kebersamaan di peringkat akar umbi.
Mengangkat tema ‘Silaturahim Terjalin Erat, Syawal Dirai Penuh Berkat,’ majlis tersebut turut menjadi manifestasi kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang sentiasa dipelihara.
Selain itu, penganjuran secara sederhana dan santai menzahirkan nilai kesyukuran serta budaya berkongsi rezeki, di samping menggalakkan amalan kesederhanaan dalam sambutan perayaan.
Para tetamu turut diraikan dengan pelbagai juadah Aidilfitri yang menyemarakkan suasana mesra dan harmoni sepanjang majlis berlangsung.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan komuniti di Bahagian Sarikei.- EDISI UKAS