Riang Ria Syawal Bank Rakyat Perkukuh Jalinan Komuniti di Kapit
KAPIT: Pendekatan santai tanpa protokol rasmi dalam penganjuran Riang Ria Syawal Bersama Bank Rakyat berjaya menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan antara jabatan kerajaan dan komuniti setempat di Bahagian Kapit pada Khamis.
Program sempena Aidilfitri itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana mesra dan inklusif, sekali gus memperkukuh jaringan sosial melalui interaksi secara langsung.
Walaupun tanpa kehadiran tetamu kenamaan, program tersebut tetap menerima sambutan yang menggalakkan, mencerminkan keperluan terhadap penganjuran aktiviti berorientasikan komuniti.
Selain menikmati pelbagai juadah Hari Raya, majlis berkenaan turut menjadi platform pertukaran pandangan antara warga jabatan dan masyarakat setempat.
Dalam masa sama, pihak penganjur mengambil peluang memperkenalkan produk pelaburan I-Rizq Plus sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dalam kalangan masyarakat.
Secara keseluruhannya, program tersebut berlangsung dengan lancar dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan, sekali gus mencapai objektif penganjuran untuk mempererat silaturahim serta memperkukuh hubungan komuniti di Kapit.-EDISI UKAS