Sarawak Sokong Cadangan Perketat Data Pengirim Perangi Penyeludupan Dadah
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong cadangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memperketatkan keperluan data pengirim bagi setiap penghantaran bungkusan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak sebagai langkah memperkukuh siasatan serta mengekang penyeludupan dadah ke negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kelemahan data pengirim termasuk penggunaan alamat dan maklumat palsu sering menjejaskan proses penyiasatan serta menyukarkan pihak berkuasa mengaitkan penghantar sebenar dengan penerima bungkusan yang mengandungi dadah.
“Apabila data pengirim tidak lengkap atau tidak tepat, ia boleh mencacatkan siasatan dan akhirnya menjejaskan pendakwaan di mahkamah.
“Justeru, PEMADAM Sarawak menyokong penuh cadangan Kastam agar setiap penghantaran bungkusan diwajibkan menggunakan data pengirim yang sah dan terkini berdasarkan pengenalan diri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan melibatkan semua agensi berkaitan termasuk jabatan persekutuan dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta 45 Pegawai Daerah selaku Pengerusi PEMADAM Daerah di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim yang juga Pengerusi PEMADAM Sarawak turut menjelaskan peranan PEMADAM yang lebih menjurus kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat berhubung bahaya dadah, berbeza dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan.
“PEMADAM berperanan memberi kesedaran dan mendidik masyarakat supaya membenci dadah. Program kami banyak tertumpu kepada sekolah, institusi pengajian tinggi, belia serta komuniti setempat,” jelasnya.
Sepanjang tahun 2025, PEMADAM Sarawak telah melaksanakan sebanyak 92 program kesedaran di seluruh negeri dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM, JKDM, Jabatan Pendidikan, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) meskipun berdepan kekangan peruntukan kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan mesyuarat turut bersetuju secara sebulat suara untuk mencadangkan peningkatan peruntukan tahunan PEMADAM Negeri Sarawak daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi membolehkan lebih banyak program pencegahan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Dengan penambahan daerah dan komitmen tinggi Pegawai Daerah, keperluan kewangan PEMADAM semakin meningkat. Justeru, cadangan ini akan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tahap masalah dadah di Sarawak masih terkawal dan antara yang terendah di Malaysia, namun usaha pencegahan perlu diperkukuh secara berterusan bagi memastikan dadah terus ditolak oleh masyarakat.
Turut hadir, Naib Yang Dipertua PEMADAM Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, wakil AADK, Jabatan Kesihatan, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi-agensi berkaitan lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie