“Sarawak Sentiasa Istimewa di Hati Saya” – Duta Besar AS
KUCHING: Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, menyifatkan Sarawak sebagai antara negeri yang paling istimewa buat beliau dan keluarganya sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, ketika mengadakan lawatan perpisahan ke negeri ini.
Edgard D. Kagan berkata, beliau amat menghargai keramahan serta keterbukaan rakyat Sarawak, yang menurutnya meninggalkan kenangan mendalam sejak lawatan pertamanya ke negeri ini pada 2014.
“Saya benar-benar menghargai kehangatan, keramahan dan keikhlasan rakyat Sarawak. Setiap kali saya datang ke sini, ia sentiasa membawa kegembiraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bersama media di sini pada Isnin, sempena lawatan perpisahannya sebelum menamatkan tugas sebagai Duta Besar Amerika Syarikat pada 15 Februari ini.
Kagan berkata, Sarawak bukan sahaja penting dari sudut hubungan diplomatik, malah mempunyai makna peribadi buat beliau dan keluarganya yang telah beberapa kali berkunjung ke negeri ini, sama ada atas urusan rasmi mahupun percutian keluarga.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan termasuk lawatan ke Taman Negara Bako, Gua Mulu, Semenggoh Wildlife Centre serta pengalaman menikmati suasana kopitiam tempatan di Kuching.
“Hakikat bahawa seseorang boleh berada di pusat bandar Kuching dan dalam masa kurang 40 minit dapat melihat orang utan di habitat semula jadi adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Beliau turut memuji perubahan pesat yang berlaku di Kuching serta perkembangan Sarawak yang disifatkan semakin dinamik, bertenaga dan berwawasan, hasil usaha kerajaan negeri dan penglibatan aktif rakyat tempatan.
Kagan berkata, walaupun menamatkan perkhidmatan sebagai diplomat, beliau berhasrat untuk terus kembali ke Malaysia dan Sarawak dalam kapasiti peribadi serta kekal menjadi penyokong hubungan Amerika Syarikat–Malaysia pada masa hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Mohd Naseem Razali