Sarawak Berpotensi Tarik Lebih Banyak Pelaburan Syarikat Amerika Syarikat
KUCHING: Sarawak berpotensi menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat-syarikat Amerika Syarikat susulan kelebihan negeri itu dalam sektor tenaga, sumber air serta hala tuju pembangunan ekonomi yang jelas.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, pihak Kedutaan Amerika Syarikat (AS) secara aktif menggalakkan syarikat-syarikat Amerika yang berminat melabur di Malaysia supaya turut mempertimbangkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan.
“Setiap kali saya berjumpa dengan syarikat Amerika, saya akan beritahu mereka supaya melihat Sarawak. Keputusan akhir terpulang kepada mereka, namun Sarawak mempunyai potensi yang sangat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bersama media sempena lawatan perpisahannya di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, pada Isnin.
Menurut Edgard D. Kagan, Sarawak memiliki kelebihan strategik khususnya dalam tenaga boleh diperbaharui, selain bekalan elektrik dan air yang mencukupi, sekali gus menjadikannya berpotensi sebagai hab pusat data dan teknologi pada masa hadapan.
“Salah satu kekangan utama pembangunan pusat data adalah bekalan elektrik dan air, dan Sarawak mempunyai kedua-duanya,” jelas beliau.
Selain sektor tenaga, beliau turut melihat peluang dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), teknologi serta ekonomi perkhidmatan sejajar dengan usaha Sarawak untuk bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi.
Kagan turut menegaskan hubungan ekonomi antara Amerika Syarikat dan Malaysia, termasuk Sarawak, telah terjalin sejak lebih 125 tahun, dengan syarikat Amerika memainkan peranan penting dalam pembangunan industri serta pembangunan bakat tempatan.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ekonomi antara Amerika Syarikat dan Sarawak akan terus berkembang seiring pertumbuhan ekonomi negeri itu serta kestabilan dasar yang ditawarkan kerajaan negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Mohd Naseem Razali