Agensi Di Bawah MUDeNR Perlu Capai Kecemerlangan, Integriti & Kepercayaan Dalam Perkhidmatan Awam
KUCHING: Agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) perlu menghayati visi dan misi kementerian yang bukan sekadar pernyataan dasar, sebaliknya perlu diterjemahkan secara konsisten dalam cara bekerja, berfikir dan membuat keputusan oleh seluruh warga perkhidmatan awam di bawah kementerian berkenaan.
Setiausaha Tetapnya, Datu Abdullah Julaihi, menegaskan aspirasi kementerian adalah untuk menjadi organisasi yang cemerlang dan berkesan, bukan sekadar berfungsi mengikut rutin biasa.
Jelasnya, elemen kecemerlangan merupakan nilai teras yang dikongsi oleh semua agensi di bawah MUDeNR termasuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Pemuliharaan Tanah (LCDA), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), ‘Sarawak Forestry Corporation’ (SFC), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta agensi berkaitan lain, meskipun dinyatakan dalam bentuk visi yang berbeza.
“Maksudnya, kecemerlangan bermakna kita tidak boleh menerima sikap sederhana atau ‘mediocrity’ dan dalam pemikiran, tingkah laku mahupun hasil kerja, kita menuntut tahap kecemerlangan.
“Untuk cemerlang bermaksud usaha kita mampu mencipta nilai sebenar dan impak yang nyata di mana apabila misi menjadi panduan dan asas kepada tindakan kita, kita tidak lagi sekadar bertindak balas terhadap peristiwa, sebaliknya mula membentuk hala tuju negeri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Hari Bersama Setiausaha Tetap MUDeNR, di sini, pada Selasa.
Dalam konteks kepimpinan, beliau memberi penekanan terhadap kepercayaan, konsistensi, keadilan dan integriti, sambil menjelaskan bahawa integriti hanya dapat dibuktikan apabila kata-kata selari dengan tindakan, terutamanya ketika berdepan tekanan.
“Apabila mereka mempercayai kita, mereka akan memberi komitmen sepenuhnya, bekerjasama secara terbuka, dan seterusnya melaksanakan tugas dengan penuh keyakinan,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Datu Abdullah turut menyeru semua warga kerja agar memfokuskan keutamaan sebenar, bukannya sekadar sibuk dengan tugasan rutin yang kurang memberi nilai tambah, selain sentiasa memahami peranan dan tujuan perkhidmatan awam berlandaskan kerangka perundangan, tadbir urus dan akauntabiliti.
Hadir sama, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengarah JTS Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengurus Besar Lembaga LCDA Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah, Controller Kualiti Alam Sekitar Datu Jack Liam dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abang Aimran. -EDISI UKAS