Sarawak Bakal Miliki Gelanggang Skuasy Kaca Pertama Di Borneo
KUCHING: Sarawak bakal memiliki gelanggang skuasy kaca pertama di Borneo dengan kos pembangunan dianggarkan sekitar RM8 juta sebagai persediaan menjadi tuan rumah acara skuasy pada Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu berkata kemudahan bertaraf antarabangsa itu akan dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak dengan sokongan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh infrastruktur sukan negeri.
Menurut beliau, gelanggang kaca kini menjadi standard kejohanan skuasy antarabangsa kerana menawarkan pengalaman tontonan yang lebih baik kepada penonton serta memenuhi keperluan siaran televisyen berkualiti tinggi.
“Apabila gelanggang ini siap kelak, ia akan membuka peluang kepada Sarawak untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan skuasy bertaraf antarabangsa selain menyokong penganjuran Sukan SEA 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Aluan sempena Kejohanan Skuasy Beregu Asia Ke-3, mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Rabu.
Datuk Gerald menambah, projek tersebut turut merangkumi pembinaan kemudahan penonton berkapasiti kira-kira 800 orang, sistem pencahayaan khas serta fasiliti penyiaran bertaraf dunia.
Tambah beliau, kerja pembinaan dijangka bermula selepas kejohanan berkenaan berakhir dan kemudahan itu diyakini siap sepenuhnya sebelum berlangsungnya Sukan SEA 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan penganjuran Kejohanan Skuasy Beregu Asia Ke-3 sebagai platform penting dalam pembangunan bakat sukan, khususnya dalam kalangan atlet muda.
Katanya, kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu menghimpunkan kira-kira 70 pemain dari sembilan negara sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan skuasy di rantau ini.
“Tidak banyak gelanggang skuasy beregu terdapat di Malaysia dan kita berbangga kerana Sarawak memiliki kemudahan ini. Kita mahu melihat lebih ramai atlet muda diberi peluang untuk berkembang dan mencapai kejayaan di peringkat tertinggi,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Persatuan Raket Skuasy Sarawak (SRAS) memperbanyak penganjuran pertandingan termasuk di peringkat akar umbi bagi memperkukuh pembangunan atlet pelapis negeri.
Menurutnya, pembangunan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa turut berpotensi merancakkan pelancongan sukan apabila lebih banyak pasukan luar memilih Sarawak sebagai lokasi latihan dan penganjuran kejohanan.
“Apabila pasukan dari luar datang dan menjalani latihan di sini selama beberapa hari atau minggu, ia memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan perkhidmatan tempatan,” jelasnya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dzulkornain Masron, Penasihat Persatuan Raket Skuasy Sarawak merangkap Senator, Robert Lau Hui Yew, Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Mohammad Azlan Iskandar serta Presiden Persatuan Raket Skuasy Sarawak, Lucy Read.-EDISI UKAS