Kolam Renang Bukit Lima Kini Berbumbung, Sokong Latihan Atlet dan Kegunaan Awam
SIBU: Penyerahan kemudahan Covered Outdoor Learning Area (COLA) di Kolam Renang Bukit Lima dijangka membolehkan fasiliti tersebut dimanfaatkan secara lebih optimum oleh atlet dan orang awam tanpa gangguan cuaca.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi berkata, penyediaan bumbung kolam renang itu bertujuan memastikan atlet dapat menjalani latihan dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif sepanjang tahun.
Menurut beliau, objektif utama projek berkenaan adalah untuk memaksimumkan penggunaan kemudahan kolam renang sedia ada, bukan sahaja sebagai pusat latihan renang terjun bagi Zon Tengah Sarawak, malah turut memberi manfaat kepada orang awam.
“Pembinaan bumbung ini membolehkan kolam digunakan dalam semua keadaan cuaca, sama ada hujan atau panas.
"Keadaan ini membantu atlet meneruskan latihan tanpa gangguan serta meningkatkan tahap prestasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Covered Outdoor Learning Area (COLA) Kolam Renang Bukit Lima kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, kemudahan yang disediakan juga memenuhi piawaian yang ditetapkan bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan atlet sentiasa terpelihara, di samping berupaya melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa hadapan.
Turut hadir Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Horh.-EDISI UKAS