Jamain Wahab Galas Amanah Pengerusi Majlis Daerah Gedong
GEDONG: Jamain Wahab memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Majlis Daerah Gedong (MDG) yang baharu selepas mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Gedong, di sini, pada Selasa.
Majlis tersebut turut menyaksikan Jamain Wahab menandatangani Deklarasi Penerimaan Jawatan yang disaksikan oleh Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Pelantikan itu menandakan permulaan amanah dan tanggungjawab besar dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan sedia ada, sekali gus memperkukuh peranan MDG khususnya dalam aspek pentadbiran, penyampaian perkhidmatan serta pembangunan kawasan bagi kesejahteraan rakyat setempat.
Sebagai tanda komitmen terhadap kecemerlangan dan integriti perkhidmatan awam, Jamain Wahab turut melafaz serta mengetuai penandatanganan Ikrar Bebas Rasuah bersama seramai 30 orang ahli majlis yang lain.
Langkah tersebut mencerminkan iltizam MDG dalam mengamalkan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti sepanjang tempoh perkhidmatan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Majlis Daerah Gedong Farrah Soyfa Mohd Sharbini, ahli-ahli Majlis Daerah Gedong serta kakitangan MDG. - EDISI UKAS