MPKS Laksana Penguatkuasaan Bersihkan Tanaman Haram di Desa Ilmu
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) melaksanakan kerja-kerja pembersihan pokok dan tanaman haram di kawasan lapang sekitar Taman Desa Ilmu, di sini, pada Isnin sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan berterusan bagi memastikan kebersihan, keselamatan awam dan keindahan persekitaran bandar sentiasa terpelihara.
Tindakan yang dijalankan sekitar jam 2 petang itu diambil susulan aduan orang awam serta hasil pemantauan berkala MPKS terhadap kawasan lapang milik Majlis yang didapati telah ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan tanaman tanpa kebenaran rasmi.
Menurut MPKS, semua kawasan lapang adalah hak milik Majlis dan sebarang aktiviti penanaman, pengubahsuaian atau penggunaan tanah tanpa kelulusan bertulis adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Penguatkuasaan berkenaan penting bagi memastikan perancangan landskap bandar dapat dilaksanakan secara tersusun, selamat dan mampan selaras dengan perancangan pembangunan setempat.
Sehubungan itu, MPKS menegaskan komitmennya untuk terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang pencerobohan atau pelanggaran peraturan di kawasan milik Majlis.
Dalam masa sama, MPKS turut menyeru kerjasama semua pihak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak menjalankan sebarang aktiviti penanaman di kawasan lapang tanpa kelulusan rasmi.
Kerjasama masyarakat amat dihargai demi mengekalkan persekitaran bandar yang bersih, indah dan harmoni untuk kesejahteraan bersama.-EDISI UKAS