IGAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Matu perlu memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan pihak kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya menegaskan, setiap ahli KMKK yang diberi amanah hendaklah melaksanakan tugas dengan penuh integriti, komitmen serta rasa tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Diharapkan semua pihak dapat terus berganding bahu dalam memperkukuh komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan serta memenuhi keperluan penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Baharu dan Pelanjutan Jawatan KMKK Daerah Matu bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng, di sini pada Selasa.
Beliau menambah, lantikan baharu dan pelanjutan jawatan KMKK Daerah Matu diyakini mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan serta merancakkan pembangunan komuniti setempat.
Beliau berkata, ahli KMKK yang baharu dilantik perlu bersikap terbuka dan bersedia menimba pengalaman daripada ahli sedia ada agar dapat menyesuaikan diri dengan peranan serta tanggungjawab yang diamanahkan.
“KMKK juga perlu sentiasa bersabar, peka dan bersedia mendengar rintihan serta permasalahan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Pada majlis berkenaan, seramai empat ahli baharu KMKK telah dilantik bagi membantu meningkatkan keberkesanan pentadbiran serta pembangunan di peringkat akar umbi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi dan Pemanca Daerah Matu, Mesaleh @ Che Jeni Shahdan.-EDISI UKAS