MATU: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan lengkap kepada rakyat terus dizahirkan menerusi pelaksanaan projek pembinaan Masjid Kuala Matu yang kini hampir siap sepenuhnya.
Projek pembinaan masjid berkenaan telah mencapai 97.5 peratus kemajuan dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.
Ketika ini, baki kerja yang masih dilaksanakan hanya melibatkan pemasangan karpet serta beberapa kemasan akhir sebelum masjid tersebut dibuka sepenuhnya untuk kegunaan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, masjid bernilai RM18.8 juta itu bakal menjadi mercu tanda baharu serta menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk, khususnya umat Islam di kawasan Matu.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan kemajuan kerja yang telah dicapai oleh pihak kontraktor setakat ini.
“Diharapkan baki kerja dapat disiapkan dengan lancar supaya masjid ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan kerja-kerja pembinaan Masjid Kuala Matu, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, selain berfungsi sebagai pusat ibadah, Masjid Kuala Matu turut berperanan sebagai balai cerapan anak bulan bagi Zon Tengah Sarawak.
Katanya, aktiviti cerapan anak bulan akan dilaksanakan di menara masjid atau minaret yang dibina khas bagi tujuan tersebut, sekali gus menambah nilai serta keistimewaan masjid berkenaan.
Dalam lawatan yang sama, Dato’ Dr Juanda turut meninjau beberapa projek pembangunan lain yang telah dan sedang dilaksanakan di kawasan DUN Jemoreng.
Antara projek tersebut ialah kerja naik taraf Dewan Pergau, baik pulih Pusat Sumber Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Cina Kuala Matu, serta projek siap pembinaan Padang Futsal Pekan Matu.
Turut hadir, Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi dan Pegawai Khas Pusat Khidmat Jemoreng, Aini Latip.-EDISI UKAS