Belanda Tawar Kepakaran Pengurusan Air, Bantu Sarawak Tangani Isu Banjir
KUCHING: Belanda menyatakan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman luas dalam pengurusan air bagi membantu Sarawak menangani isu banjir yang semakin serius akibat perubahan iklim.
Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Warner berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau terhadap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, dengan fokus utama diberikan kepada kerjasama berkaitan pengurusan air.
Menurut beliau, Belanda dijangka akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama air dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat, dan mencadangkan agar skop kerjasama yang sama turut diperluaskan bersama Kerajaan Sarawak.
"Sepanjang ratusan tahun, kami telah membangunkan pelbagai penyelesaian yang menjadikan kami berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam isu pengurusan air.
"Pengetahuan, kepakaran serta barangan dan perkhidmatan ini ingin kami kongsikan bersama Sarawak pada masa hadapan bagi membantu mengurangkan risiko dan impak banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat beliau terhada Datuk Amar Dr Sim di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, pada Rabu.
Jacques menambah, Sarawak telah mengalami kejadian banjir yang serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk di Bintulu, Sibu dan beberapa kawasan lain, sekali gus memerlukan pendekatan jangka panjang yang lebih menyeluruh.
Justeru katanya, kerjasama dan perkongsian kepakaran adalah penting bagi mengurangkan risiko serta kesan banjir memandangkan bencana ini akan sentiasa berlaku dengan perubahan iklim akan memburukkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, Jacques memberitahu, kehadiran beliau di Sarawak juga membawa beberapa wakil syarikat Belanda yang berminat untuk menyumbang kepada visi Sarawak dalam membina lebih banyak lapangan terbang dan memodenkan kemudahan sedia ada.
"Kami mempunyai beberapa syarikat Belanda yang berminat untuk menyumbang ke arah merealisasikan objektif tersebut," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim