70 Asnaf Di Jemoreng Terima Sumbangan Bakul Makanan
JEMORENG: Seramai 70 penerima daripada golongan asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima sumbangan bakul makanan pada Selasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, program tersebut merupakan inisiatif berterusan Pusat Khidmat N44 Jemoreng sebagai usaha meringankan beban hidup penduduk yang memerlukan, khususnya golongan kurang berkemampuan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, bantuan seperti ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan tekanan ekonomi isi rumah, malah mencerminkan keprihatinan kepimpinan setempat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan program kebajikan secara konsisten dapat memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat, di samping memupuk semangat saling membantu serta keprihatinan sosial dalam kalangan komuniti setempat.
Sementara itu, para penerima meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas sumbangan yang diterima serta merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat PBB N44 Jemoreng dan kepimpinan kawasan atas keprihatinan yang ditunjukkan. -EDISI UKAS